KUALA TERENGGANU – Dua naskah buku ‘Dirgahayu Tuanku: Sejarah
Kesultanan Terengganu 1708-2008’ akan diagihkan kepada semua 165 sekolah
di negeri ini bagi memperteguhkan rasa cinta rakyat terutamanya pelajar
kepada Institusi Kesultanan Terengganu.
Bagi tujuan itu, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) menjalin kerjasama
dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dalam usaha
mengagihkan buku sejarah berkenaan.
Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof,
secara keseluruhan sebanyak 330 buku akan diagihkan kepada sekolah
menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama di seluruh negeri.
“Alhamdulillah pihak YDSM amat berterima kasih kepada syarikat AHT
& Carriage Sdn Bhd yang diterajui pengasasnya, Datuk Abdullah Taib
kerana sudi menaja penyerahan buku ini (Sejarah Kesultanan Terengganu
1708 – 2008).
“Saya percaya buku ini wajar dan amat penting dibaca oleh orang ramai
terutamanya pelajar kerana ia memaparkan sejarah (Kesultanan Terengganu)
secara komprehensif dan sedikit sebanyak akan memupuk kecintaan
terhadap institusi kesultanan yang memayungi negeri kita ini,” katanya.
Selain itu menurut Mohd Fadzli, selaku badan amal yang bertujuan
memberi manfaat pengembangan dan kemajuan pelajaran anak Terengganu
dalam usaha untuk melahirkan pelajar cemerlang merangkumi segenap aspek.
“Sememangnya menjadi peranan besar bagi kami untuk memberi dan
menyediakan khidmat bakti kepada golongan masyarakat yang memerlukan
seiring dengan usaha yang dilakukan pihak berkuasa dan pelbagai agensi
lain,” katanya.
Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan
menyempurnakan upacara pelancaran Program-program YDSM di Sekolah
Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, di sini.
Daulat Tuanku
Sumber:
Sinar Harian